Azamuddin AKIL sudah pulih daripada demam dan kini tidak sabar untuk
membalas dendam ke atas Pahang yang mengalahkan JDT 3-1 dalam suku akhir
pertama Piala FA di Kuantan pada awal bulan ini.
KUALA LUMPUR 22 April – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT),
Azamuddin Akil mengakui dia tidak sabar untuk bertemu dengan bekas
pasukannya Pahang dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium
Tan Sri Hassan Yunos, Larkin esok.
Azamuddin berkata, walaupun JDT ketinggalan
selepas kalah 3-1 dalam pertemuan suku akhir pertama pada 1 April lalu
namun dia yakin Harimau Selatan mampu bangkit untuk mengatasi defisit
tersebut seperti dilakukan mereka ketika mengatasi Kedah dalam kejohanan
yang sama pada tahun lalu.
“Ketika menentang
Boeungket Angkor dalam perlawanan Piala AFC tempoh hari saya main satu
babak sahaja sebab saya demam tetapi sekarang saya sudah pulih
sepenuhnya dan 100 peratus cergas. Saya rasa tidak sabar untuk menentang
bekas pasukan saya.
“Bagi saya,ketinggalan 3-1 tidak memberi kesan atau tekanan kepada kami sebab kami
main di laman sendiri dan saya fikir tidak mustahil JDT boleh kalahkan
Pahang. Kami sebagai pemain mengharapkan sokongan daripada penyokong
setia JDT.
“Ketika suku akhir pertama, kami tidak bermain
dengan bagus tetapi sekarang prestasi JDT sudah meningkat. Saya yakin
kami boleh mengatasi Pahang sebab masa lawan Kedah dalam Piala FA tahun
lalu kami ketinggalan dalam pertemuan pertama tetapi berjaya bangkit
dalam perlawanan timbal balik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tahun
lalu, Kedah berjaya menewaskan JDT 2-1 dalam separuh akhir pertama
tetapi Harimau Selatan mencatat kemenangan 3-1 dalam pertemuan kedua
untuk mara ke
perlawanan akhir dengan berbekalkan agregat 4-3. JDT
seterusnya muncul juara selepas menewaskan PKNS FC 2-1 pada Mei lalu.
Skuad
Tok Gajah pastinya menjadikan kelebihan bekalan gol yang diperoleh
mereka sebagai tonik terbaik untuk menghadapi JDT esok tetapi mereka
tidak boleh terlalu yakin untuk menghadapi Harimau Selatan yang beraksi
di laman sendiri.
Perlawanan tersebut sudah
pasti dinanti-nantikan oleh peminat setia bola sepak tempatan
memandangkan kedua-dua pasukan turut beraksi cemerlang dalam Liga Super
yang mana JDT kini menduduki anak tangga teratas selepas mengumpul 23
mata, tiga mata di atas Pahang yang menghuni tempat kedua.