Isnin, 21
Disember 2015 | 7:03am
Terlalu sukar
tinggalkan Tok Gajah: Azamuddin
Oleh Mohd Rafi
Mamat
bhsukan@bh.com.my
PEMAIN Pahang,
Azamuddin Mohd Akil. - Foto Mohd Rafi Mamat.
KUANTAN:
Penyerang kebangsaan, Azamuddin Mohd Akil mengambil keputusan nekad
meninggalkan skuad Pahang untuk bersama Johor Darul Ta`zim (J DT) musim depan
kerana mahu mencari cabaran baharu.
Azamuddin
berkata, selepas 11 musim bersama Tok Gajah, sudah tiba masanya dia mengharungi
cabaran baharu yang dapat menguji kebolehan dan kemampuannya sebagai pemain
bola sepak profesional.
"Sebenarnya,
terlalu sukar untuk saya mengambil keputusan meninggalkan skuad Tok Gajah,
namun demi pembangunan kerjaya dan mengambil kira pelbagai perkara... saya
terpaksa melakukannya," katanya semalam.
Azamuddin atau
lebih terkenal dengan panggilan Alex berkata, dengan barisan bintang dalam
pasukan JDT, dia terpaksa melipatgandakan usaha bagi menempatkan diri dalam
kesebelasan utama pasukan pada musim depan.
Selain
bersaing dengan pemain import, katanya dia juga perlu membuktikan kebolehan
yang lebih daripada pemain JDT jika ingin muncul sebagai penyerang disegani
seperti ketika beraksi dengan Tok Gajah.
"Cabaran
itu sememangnya saya cari sehingga mendorong saya mengambil keputusan
meninggalkan Tok Gajah yang mengecap banyak kejayaan pada musim lalu apabila
menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia," katanya.
Azamuddin yang
pernah bersama pasukan Shahzan Muda pada musim 2005 berkata, dia yakin corak
permainannya akan lebih baik musim depan terutama dalam usaha membuktikan
kepercayaan yang diberikan pengurusan JDT.
Katanya,
sokongan dan kepercayaan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang
(PBNP) terutama presidennya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah juga tidak
akan dilupakannya sampai bila-bila.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan