Rabu, 16 Disember 2015 | 7:18am
Oleh Mohd Rafi Mamat
bhsukan@bh.com.my
Kongsi artikel

TIGA pemain tonggak, (dari
kiri) Azamuddin Mohd Akil, Hafiz Kamal dan Razman Roslan memilih untuk
meninggalkan Tok Gajah. - Foto NSTP
KUANTAN: Tiga pemain tonggak,
Razman Roslan, Hafiz Kamal dan Azamuddin Mohd Akil memilih untuk meninggalkan
Tok Gajah selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dikatakan tidak
lagi mampu memenuhi permintaan mereka, musim depan.
Razman mengambil keputusan untuk
menyarung jersi pasukan baharu yang masih dirahsiakan, Hafiz mahu memikirkan
tawaran daripada beberapa pasukan yang berminat menggunakan khidmatnya manakala
Azamuddin menyahut cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT)..
"Saya berterima kasih
kepada pengurusan PBNP terutama presidennya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad
Shah yang merestui permohonan saya untuk meninggalkan skuad Tok Gajah,"
kata Razman semalam.
BH Sukan semalam melaporkan
beberapa pemain tonggak Pahang dijangka mengikut jejak ketua jurulatih, Zainal
Abidin Hassan meninggalkan Tok Gajah untuk menyertai pasukan lain dalam saingan
Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Matias Conti, Dickson Nwakaeme
dan Damion Stewart - juga mahu berbuat demikian selepas menerima tawaran
lumayan daripada beberapa pasukan yang begitu berminat dengan kelibat mereka.
"Saya mohon maaf kepada
pengurusan PBNP dan peminat setia Tok Gajah yang sentiasa memberi sokongan
kepada saya...walaupun pahit untuk ditelan, saya terpaksa mengambil keputusan
drastik ini.
"Saya harap barisan pemain
baharu di bawah bimbingan ketua jurulatih, Ahmad Shahruddin Rosdi dapat melakar
lebih banyak kejayaan pada musim depan," kata Razman.
Hafiz pula berkata, dia
terpaksa mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dengan skuad Tok
Gajah musim depan selepas mereka memberi pilihan kepadanya.
"Saya sudah bersedia dan
menjangka perkara ini berlaku. Saya masih memikirkan tawaran daripada beberapa
pasukan yang berminat menggunakan khidmat saya. Saya akan membuat keputusan
dalam masa terdekat," katanya.
Azamuddin berkata dia menerima
tawaran JDT bukan kerana wang, sebaliknya mahu mencari pengalaman baharu
bersama pasukan baharu.
"Ini bukan soal wang
kerana saya boleh mendapat jumlah sama jika masih terus bersama Pahang. Saya
mahu mencari pengalaman baharu dan akan terus bersaing untuk mendapat tempat
sebagai pemain utama di JDT," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
16 Disember 2015 | 7:18am