ARKIB : 01/02/2009
PEMAIN Pahang, Mohd. Azamuddin
Md. Kamil (kiri) dihalang pertahanan PKNS, Muhammad Afiq Hassanuddin pada
pertemuan di Stadium Darul Makmur , Kuantan, malam tadi. Kedudukan terikat 1-1.
MINGGUAN/Mahathir Ali
KUALA LUMPUR Kelantan, Perak,
Sarawak dan Perlis mencatat kemenangan besar ke atas lawan masing-masing dalam
perlawanan pusingan pertama Piala FA semalam.
Namun kemenangan dengan
jaringan yang besar itu gagal diikuti oleh beberapa pasukan pilihan seperti
Negeri Sembilan yang seri 0-0 dengan Melaka manakala Pasukan Liga Super, Pahang
sekadar seri 1-1 dengan PKNS.
Perlis garang di tempat lawan
apabila membenam cabaran MBJB 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin
menerusi hatrik penyerang kebangsaan Nizaruddin (m-58, 74, 81) selepas jaringan
pembukaan Eslizuan Zahid Amir (m-45).
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan
tuan rumah selesa untuk mara ke pusingan kedua apabila menang besar 4-1 ke atas
pendatang baru Liga Perdana, SDM Kepala Batas.
K. Thinagaran mencipta hatrik
(m-32, 43, 84), selain jaringan Mohd. Arsyah Mohd. Ayob (m-52) untuk memastikan
pasukan bimbingan M. Karathu itu meraih bekalan selesa untuk perlawanan kedua
sebelum SDM membalas satu gol pada minit ke-72 menerusi M. Jagen.
Di Stadium Negeri, Kuching
Sarawak sudah sebelah kaki ke pusingan kedua apabila membelasah Angkatan
Tentera 6-1.
Joseph Kalang Tie mencatat
hatrik pada minit ke-23, ke-58 dan ke-85 dan Mohd. Khalid Hambet (m-15, 55) dan
Zamri Morshidi (m-30) sebelum Mohd. Nazri Akui menjaringkan gol sagu hati
pelawat (m-88).
Pasukan Liga Perdana, T-Team
yang membariskan beberapa pemain kebangsaan sekadar menang tipis 1-0 ke atas
Shahzan Muda di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu hasil jaringan Haris
Safwan pada minit ke-26.
Pulau Pinang juga mencatat
keputusan yang sama dalam perlawanan menentang Johor FC di Stadium Bandaraya
hasil jaringan Mohd. Farkhis Pisol pada minit ke-25.
Kuala Lumpur menjaringkan gol
di babak akhir menerusi Azwan Malek untuk mengikat Sabah 1-1 selepas pelawat di
Stadium Cheras, mendahului menerusi jaringan Azrul Ejati Damsah (m-46).
Pahang gagal meraih kesempatan
daripada aksi di tempat sendiri di Stadium Darul Makmur apabila sekadar seri
1-1 dengan PKNS.
Pahang mendahulu menerusi
jaringan P. Surendran (m-17) sebelum PKNS bangkit mengikat kedudukan menerusi
Tengku Adam Tg. Mohd. Rosli (m-23).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51byVlMin
© Utusan Melayu (M) Bhd