Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
KAPTEN Pahang, Jalaluddin Jaafar (kanan) mengasak penyerang PKNS, Patrick
Ronaldinho pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam
tadi.PAHANG menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila mara ke saingan
separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Selangor PKNS dengan agregat
5-3.
Selepas menang 3-2 pada aksi suku akhir pertama di
Kuantan, Pahang minggu lalu, Tok Gajah meneruskan momentum sedia ada dengan
menewaskan PKNS 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam malam
tadi.
Beraksi di depan 30,000 penonton, Pahang membuka tirai
jaringan menerusi peledak import, Matias Conti hasil sepakan penalti pada minit
ke-28.
Tonggak Harimau Malaya, Mohd. Azamuddin Akil terus
memberi tekanan kepada PKNS apabila menjaringkan gol kedua Tok Gajah pada minit
ke-59.
Tersentak dengan dua jaringan Pahang, PKNS kembali
mempamerkan corak persembahan agresif dengan melancarkan asakan ke kubu
pertahanan lawan.
Asakan bertubi-tubi itu memberikan hasil kepada PKNS
apabila Khairul Azrin Khazali meledak gol pada minit ke-66.
PKNS terus bangkit bagi memburu gol dalam tempoh 10 minit
terakhir perlawanan, namun gagal menambah sebarang jaringan sehingga tiupan
wisel terakhir.
“Kejayaan ini hadir daripada 120 peratus komitmen barisan
pemain Pahang. Saya sangat gembira kami berjaya mara ke pusingan separuh akhir.
“Kini saya berazam untuk membantu Pahang mara ke final,”
jelas Azamuddin.
Jurulatih PKNS, Abdul Rahman Ibrahim memberitahu, beliau
tetap berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas kepada
Pahang.
“Saya tidak puas hati dengan jaringan pertama Pahang dan
gol kedua mereka adalah hasil kesilapan pemain saya sendiri.
“Begitupun, saya tetap berbangga dengan pencapaian PKNS
dalam saingan Piala Malaysia kali ini berdasarkan pemain sedia ada,” katanya
RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/kosmo.5.10.13