MyMetroArena

Mohd Rafi Mamat
sukanteam@nstp.com.my
BIARPUN Kedah mencatat keputusan seri 3-3 menentang
Pahang pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Alor Setar kelmarin
namun itu lebih baik daripada tewas.
Bagi bekas penyerang kebangsaan Azamuddin Mohd Akil,
turut tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya selepas gagal menghadiahkan
kemenangan di laman sendiri.
Katanya, kejayaan sudah hampir dalam genggaman namun
ternyata nasib sahaja tidak menyebelahi skuad Lang Merah.
"Saya puas hati dapat bantu Kedah sepanjang
permainan terutama selepas diturunkan pada pertengahan babak pertama,
kepercayaan jurulatih Aidil Sharin Sahak dapat diterjemahkan dengan berkesan
bagi membantu jentera serangan.
"Kedah memiliki kelebihan ke atas Pahang namun nasib
sahaja yang memisahkan kami," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pengalaman pada perlawanan pusingan pertama
Piala Malaysia diharap menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain untuk
melakukan yang terbaik pada Sabtu ini.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Alex berkata,
walaupun Tok Gajah memiliki kelebihan di gelanggang sendiri tidak mustahil
skuad bimbingan jurulatih Dollah Salleh itu dapat dijinakkan.
Katanya, pengalaman sebagai bekas pemain Pahang sebelum
ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu pasukan Kedah sekiranya diturunkan
oleh jurulatih nanti.
"Tuan rumah Pahang pasti memiliki kelemahan...
justeru kelemahan itu perlu digunakan sepenuhnya untuk menjinakkan lawan yang
tentunya akan mendapat sokongan padu penyokong setia mereka.
"Saya harap rakan sepasukan tidak mudah menyerah
kalah sebaliknya dapat memberi sepenuh tumpuan pada permainan, elak terlalu
banyak melakukan kesilapan sepanjang 90 minit permainan.
"Sedikit kecuaian yang kita lakukan boleh memakan
diri sendiri,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober
2019 @ 1:00 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan