PEMAIN Sayap Kedah, Azammuddin
Mohd Akil berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana
memberi peluang kepadanya untuk beraksi bersama pasukan Lang Merah seklai gus
menyelamatkan kariernya daripada terus terkubur.- FARIZ RUSADIO
Muhamad Aimy Ahmad
11 Mei 2019 2:24 PM
ALOR SETAR 11 Mei - Bekas
penyerang kebangsaan, Azamuddin Akil mengakui dia mungkin terpaksa melupakan
karier sebagai pemain bola sepak profesional sekiranya tidak ‘diikat’ oleh
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), tahun lalu.
Pemain kelahiran Lipis, Pahang itu
berkata, tempoh lapan bulan tidak turun dalam perlawanan kompetitif memberi
cabaran kepadanya untuk kembali beraksi cemerlang walaupun masih dalam fasa
pemulihan daripada kecederaan.
Diturunkan pertama kali pada
empat minit terakhir bagi menggantikan Mohd. Farhan Roslan dalam saingan suku
akhir Piala FA, malam tadi, Azamuddin yang juga dikenali sebagai Alex nyata
gembira dan bersyukur dengan peluang itu.
“Semua orang tahu saya
mengharungi lima bulan tanpa gaji sejak bersama Kedah kerana kecederaan buku
lali yang dialami, saya berkorban untuk kembali dalam kerjaya saya.
“Justeru, terima kasih tidak
terhingga kepada pengurusan KFA, barisan jurulatih, fisioterapi dan rakan
sepasukan yang tidak putus-putus memberi semangat dan kata-kata perangsang
untuk saya kembali ke dalam padang.
“Kemungkinan kerjaya saya sudah
tamat sekiranya KFA tidak menerima saya, saya berhempas pulas untuk kembali
kepada tahap kecergasan seperti sebelum ini termasuk menjalani dua kali
pembedahan,” katanya selepas aksi bertemu PKNS FC di sini, semalam.
Mendedahkan dia kini sudah 90
peratus pulih, Azamuddin yang mudah disapa Alex berkata, dia akan cuba
meningkatkan momentum pada setiap perlawanan selepas ini bagi memberikan aksi
terbaik kepada Lang Merah sebagai membalas jasa pasukan itu.
Malah, peluang beraksi di hadapan
penyokong Kedah di Stadium Darul Aman dalam perlawanan itu juga bagaikan
menyerap aura baharu kepadanya walaupun bermain untuk tempoh yang singkat.
“Terima kasih juga kepada
penyokong yang sentiasa memberi sokongan moral kerana semua tahu saya datang ke
sini untuk bermain bola sepak dan saya bersedia untuk beraksi lebih lama dalam
perlawanan selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih
Kedah, Aidil Sharin Sahak turut gembira dengan keazaman dan kerja keras yang
ditunjukkan Azamuddin untuk kembali merebut tempat dalam pasukan.
“Bukan senang untuk dia kembali
selepas tidak beraksi selama beberapa bulan, semangat inilah yang saya mahu
pemain-pemain lain terutama pemain muda contohi,” katanya.
Selain bersama Selangor pada
musim lalu, Azamuddin turut pernah menyarung jersi skuad Johor Darul Ta’zim
(JDT) sebelum ini serta membantu pasukan negeri kelahirannya, Pahang menjulang
trofi kejuaraan dalam Liga Malaysia. SUMBER- UTUSAN ONLINE 11 Mei 2019 2:24 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan